Hak media nak lapor apa pun, Shafee diberitahu

Hak media nak lapor apa pun, Shafee diberitahu

Hakim Collin Lawrence Sequerah ambil maklum aduan pihak pembelaan mengenai laporan kes 1MDB diterbitkan FMT sebelum ini.

Peguam utama Najib Razak, Shafee Abdullah memaklumkan artikel disiarkan ‘benar-benar tidak adil’ dan ‘amat prejudis’.
KUALA LUMPUR:
Hakim yang mendengar perbicaraan kes rasuah Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi berkata beliau tidak boleh mengarahkan media apa yang patut dilaporkan kerana itu adalah hak mereka.

Collin Lawrence Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan berkata, bagaimanapun beliau mengambil maklum aduan dibuat pihak pembelaan.

Beliau berkata demikian selepas peguam utama Najib iaitu Shafee Abdullah memaklumkan bahawa artikel disiarkan pagi ini adalah “benar-benar tidak adil” dan “amat prejudis.”

Artikel itu adalah berdasarkan beberapa perenggan dalam pernyataan saksi pendakwaan ke-49 iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nur Aida Arifin, 37, yang dibantah oleh pihak pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pula berkata beliau tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung Jumaat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.