11 suspek sindiket tipu pelaburan kripto ditahan

11 suspek sindiket tipu pelaburan kripto ditahan

Semua suspek berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun terdiri tujuh lelaki tempatan, dua lelaki warga Filipina dan dua wanita tempatan.

Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata sindiket terbabit mula mempromosikan tawaran skim pelaburan urus niaga kripto sejak awal bulan ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Tindakan proaktif pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak berjaya menahan 11 suspek terlibat sindiket penipuan yang menganjurkan seminar pelaburan urus niaga kripto (Crypto AI Trading Bot) di sebuah hotel di sini Sabtu lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua suspek berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun merangkumi tujuh lelaki tempatan, dua lelaki warga Filipina dan dua wanita tempatan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan Sabtu lalu dan mendapati sindiket menggunakan nama “D’Luxe” serta menawarkan skim pelaburan dalam urus niaga kripto kepada 55 peserta dengan nilai USDT20 hingga USDT10,000, selain menjanjikan pulangan 0.5 hingga 2.2% setiap hari mengikut kadar modal yang dilaburkan.

“Sistem robot AI (kecerdasan buatan) yang diwujudkan oleh sindiket menerusi platform dalam talian itu dikatakan akan membantu pelabur mendapatkan keuntungan dalam urus niaga kripto dengan mudah dan cepat.

“Kebanyakan peserta yang hadir ialah warga tempatan berumur lingkungan 40 hingga 60 tahun. Mereka tidak memahami cara urus niaga kripto dan juga tidak menyedari bahawa platform dalam talian AI Trading Bot yang diwujudkan sebenarnya perangkap untuk memperdaya pelabur,” katanya pada sidang media.

Ramli berkata, sindiket terbabit mula mempromosikan tawaran skim pelaburan urus niaga kripto itu sejak awal bulan ini.

Menurutnya, semua suspek yang direman hingga esok merupakan penganjur, penaja, penceramah dan ejen mencari pelanggan yang sedang giat mempromosikan skim pelaburan semasa seminar terbabit diadakan.

“Turut dirampas beberapa telefon bimbit, komputer riba, skrip, gegantung dan enam kenderaan pelbagai jenis,” katanya dan menambah kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai tidak sesekali percaya kepada sebarang tawaran pelaburan tanpa membuat semakan dengan agensi seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Sementara itu, Ramli berkata Unit Siasatan Jenayah Mata Wang Kripto JSJK Bukit Aman menangkap tiga lelaki tempatan berumur antara 35 hingga 55 tahun di sekitar Lembah Klang dan Pahang awal pagi tadi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tipu pelaburan mata wang kripto.

Ramli berkata, menurut pengadu yang merupakan seorang lelaki, suspek telah mempelawanya untuk melabur dalam satu projek mata wang kripto yang didakwa di China dengan menggunakan nama “CCGDS” pada 2022.

Beliau berkata, suspek berjanji kepada pengadu bahawa dia (pengadu) akan menerima 50 peratus keuntungan daripada projek itu, dan pengadu berjaya mengumpulkan dana daripada 20 pelabur termasuk empat dari China.

Menurutnya, bayaran dana terbabit telah dibuat ke akaun wallet cryptocurrency yang diberikan oleh suspek dan beberapa akaun bank tempatan.

“Pengadu telah membuat semakan pada 12 Okt 2023 dan mendapati dana pelaburan itu telah dipindahkan ke akaun wallet cryptocurrency disyaki milik peribadi suspek. Pengadu rasa ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM12 juta,” katanya.

Ramli berkata, unit berkenaan berjaya merampas mata wang kripto berjumlah USDT54,996.8 dengan nilai anggaran semasa RM259,955.80, selain ketiga-tiga suspek direman hingga esok serta tangkapan susulan akan dilakukan untuk mengesan suspek yang masih bebas.

Dalam pada itu, berkenaan laporan media semalam berhubung seorang wanita yang mengalami kerugian berjumlah RM6.22 juta, iaitu jumlah tertinggi kerugian akibat penipuan di Perak setakat ini, Ramli berkata gambar seorang individu yang berpengaruh dalam bidang pelaburan telah digunakan sindiket untuk mempengaruhi mangsa.

Justeru, beliau mengingatkan kepada orang ramai bahawa mana-mana pelaburan dalam talian tanpa sebarang dokumen perjanjian dimeterai amat berisiko tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.