Selamba ceroboh rumah kosong, polis tahan warga asing

Selamba ceroboh rumah kosong, polis tahan warga asing

Polis berkata warga asing itu ditangkap selepas pemilik kediaman membuat laporan polis mendakwa rumahnya diceroboh.

Gambar tular menunjukkan warga asing yang disyaki menceroboh dan tinggal di sebuah pangsapuri kosong di Puchong. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh kerana menceroboh dan tinggal di sebuah pangsapuri di Puchong sejak dua bulan lalu.

Ketua Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata warga asing itu ditahan semalam selepas pemilik yang tinggal di Terengganu membuat laporan polis mendakwa rumahnya diceroboh, lapor Harian Metro.

Kata Wan Kamarul, semua suspek berusia 23 hingga 30 tahun itu ditahan ketika polis membuat pemeriksaan di rumah itu pada jam 9 malam tadi.

“Warga Bangladesh itu mengaku menduduki rumah itu sejak dua bulan lalu dengan merosakkan kunci pintu dan menggantikannya dengan yang baharu,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan tiga lelaki warga Bangladesh itu akan ditahan reman hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai hantaran seorang perunding hartanah yang terkejut apabila sebuah unit apartment milik kenalannya yang kosong sejak 10 tahun lalu kini didiami warga asing.

Perunding hartanah yang dikenali sebagai Srilabu Kedah berkata kenalannya yang tinggal di Terengganu memintanya menjual rumah itu tetapi ketika membuat pemeriksaan dia terkejut apabila mendapati pangsapuri itu kini didiami warga asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.