
Hajiji berkata, beliau tidak mahu kerajaan Sabah diheret dalam permainan tidak bertanggungjawab itu sebaliknya hanya mahu terus fokus untuk merealisasikan dan memenuhi aspirasi rakyat yang mendambakan kemajuan, pembangunan serta kesejahteraan hidup.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu berkata, kerajaan perpaduan yang ada ketika ini juga berfungsi dengan cukup baik dan berkesan, justeru ia perlu terus didukung sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat serta kesinambungan pembangunan ekonomi negara.
“Sekarang adalah masanya untuk bekerja, berkhidmat dan berbakti bagi memenuhi aspirasi rakyat.
“Kerajaan negeri juga akan sentiasa bersama pimpinan kerajaan persekutuan dalam memperjuang serta membela nasib rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena lawatan rasmi kepimpinan kerajaan Selangor ke Sabah yang turut dihadiri Menteri Besar Amirudin Shari.
Hajiji berkata, Sabah tetap komited untuk terus menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menolak sebarang cubaan untuk mengganggu-gugat pentadbiran negara ketika ini.
“Pendirian ini kita tegaskan lagi setelah mendengar desas-desus wujudnya Langkah Dubai, konon untuk menukar kerajaan persekutuan. Kita terus bekerja untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat sehingga penggal kerajaan (negeri Sabah) sekarang berakhir pada September 2025,” katanya.