
Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mempengerusikan sidang hakim tiga anggota, menyifatkan kes ini sebagai luar biasa maka hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi harus dikekalkan.
Kes ini dipercayai kali pertama mahkamah rayuan menolak menggunakan budi bicara untuk mengenakan hukuman penjara, sejak undang-undang berkaitan dipinda tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Khushairy Ibrahim mencadangkan hukuman mati yang dijatuhi ke atas J Balakrishnan, Abbasi Younes, dan Seyedohsen Namazikivaj pada Disember 2019 dikekalkan.
“Kami berpandangan kes ini amat jarang berlaku kerana ia melibatkan pengilangan dadah pada jumlah yang banyak dan akan menyebabkan kerosakan pada orang awam yang tidak akan dapat dipulihkan,” katanya.
Para peguam mewakili tiga individu terbabit menggesa mahkamah mengenakan hukuman penjara, yang mana undang-undang memperuntukkan tempoh maksimum 30 tahun.
Terdahulu, Hakim Azmi Ariffin, yang membacakan asas-asas penghakiman bagi menolak rayuan mereka bertiga, berkata terdapat keterangan yang kuat untuk hakim perbicaraan menyimpulkan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Hadhariah bersidang bersama Azmi dan Ahmad Zaidi Ibrahim.
Tiga individu itu melakukan kesalahan tersebut pada 20 Ogos 2015, sekitar 11 malam di kawasan perindustrian ringan di Taman Sri Rambai, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi membebaskan tukang cuci sambilan, B Lacheme Devi, yang diambil bekerja oleh Balakrishnan dan didakwa bersama.
Fakta kes menceritakan bahawa polis menyerbu dan menemukan kimia dan perlengkapan untuk membuat dadah, selepas mengawasi premis selama tempoh tertentu. Polis kemudian menahan empat suspek.
Analisis oleh ahli kimia menyimpulkan bahawa bangunan itu digunakan untuk memproses methamphetamine.
Kitson Foong dan Chew Jee San mewakili warga Iran terbabit selaku peguam, manakala Ashok Athimulan mewakili Balakrishnan.