Habuan RM38,000 lulus insentif Penjana, bekas pegawai Perkeso didenda RM70,000

Habuan RM38,000 lulus insentif Penjana, bekas pegawai Perkeso didenda RM70,000

Tertuduh menerima suapan itu daripada sebuah syarikat sebagai dorongan lulus insentif Penjana.

Tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara 24 bulan jika gagal bayar denda.(Gambar Pexel pic)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso mengaku salah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan kerana menerima suapan RM38,000 sebagai balasan meluluskan insentif Penjana 3.0 sebuah syarikat, dua tahun lalu.

Susulan pengakuan itu, Hakim Anita Harun mengenakan hukuman denda RM70,000 terhadap S Dhinnesh, 30, dan memerintahkan tertuduh dipenjara 24 bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Dhinnesh didakwa menerima untuk dirinya wang tunai RM38,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan meluluskan permohonan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Penjana 3.0 milik syarikat lelaki itu.

Perbuatan itu dilakukan masing-masing di sebuah kafe dan restoran di Dengkil serta Sepang, pada 6 dan 15 Apr 2022, menurut laporan Harian Metro.

Mengikut fakta kes, modus operandi dilakukan tertuduh adalah menghubungi pegawai di Ibu Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso untuk meminta tindakan “data patching” yang bermaksud membuka semula permohonan sebuah syarikat yang telah ditolak supaya tertuduh boleh membuat semakan dan memberikan kelulusan.

Kemudian tertuduh telah menghubungi seorang lelaki dengan membuat kiraan bahawa syarikat tersebut akan menerima sejumlah RM1.15 juta dalam tempoh enam bulan, tidak termasuk insentif mobiliti.

Hasil perbincangan bersama dua lelaki termasuk pemilik syarikat tersebut, akhirnya telah menawarkan 10% iaitu berjumlah RM19,000 hasil daripada pembayaran Perkeso berjumlah RM189,020 setiap enam bulan, bagi permohonan 124 orang pekerja syarikat berkenaan.

Peguam Kathan Maruthamuthu memohon hukuman minimum dengan alasan ia adalah kesalahan pertama tertuduh dan dia sudah menyesal serta berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Katanya, anak guamnya kini memperoleh gaji RM1,500 sebulan sebagai pembantu kedai runcit.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin bagaimanapun memohon agar mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara keseluruhannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.