
Individu berkenaan dikehendaki susulan seorang bergelar Datuk, anggota polis, dan sembilan lain daripada sindiket sama didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu semalam kerana terlibat jenayah terancang.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata bekas polis dikenali Haibil Kiraman, bersara daripada pasukan pada 1 Nov 2021 kali terakhir dilihat di Tawau.
Baki suspek lain adalah Sahairul Sabudin dan Absar Musa, masing-masing 38 tahun; warga Filipina, Hasan Syamsuddin @ Nas Botak, Joel Edwin @ Dedek, Sing Harun Musa @ Thambi dan Mana Ungok @ Mike; selain wanita warga Indonesia Rohani Yunus @ Karisa.
Umur suspek warga asing tidak dapat dikenal pasti.
“Polis telah membekukan 42 akaun bank berjumlah RM1.86 juta sejak 27 Dis 2023 hingga 19 Jan 2024,” kata Ayob pada sidang media sambil menambah polis juga membekukan aset sindiket berkenaan bernilai lebih RM9 juta.
Dalam perkembangan berasingan berkaitan peningkatan salah laku polis, Ayob mempertahan amalan pengambilan polis.
“SOP pengambilan adalah lengkap. Ramai yang terlibat dalam jenayah berkelakuan baik ketika direkrut. Mungkin godaan terlalu berat buat mereka,” katanya sambil menegaskan polis tidak sama sekali akan berkompromi terhadap mana-mana anggota terlibat jenayah.