Pencemaran bukti perlu Lembaga Lembangan Ulu Muda, kata Chow

Pencemaran bukti perlu Lembaga Lembangan Ulu Muda, kata Chow

Ketua menteri P Pinang mahu rakan sejawatan di Kedah mendedahkan punca sebenar pencemaran Tasik Muda jika bukan disebabkan pembalakan.

Chow Kon Yeow berkata Putrajaya mempunyai kewajipan untuk memastikan kawasan tadahan air dilindungi daripada aktiviti yang mampu menjejaskan ekosistem sungai.
GEORGE TOWN:
Pencemaran dan mendapan selut di kawasan tadahan Tasik Muda di Hutan Simpan Ulu Muda membuktikan perlunya Lembaga Lembangan Ulu Muda (Umba) diwujudkan, menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow berkata, beliau memahami kenapa kerajaan Kedah menentang Umba diwujudkan, kerana bimbang kehilangan hasil sekiranya pihak berkuasa berkenaan melarang aktiviti pembalakan.

Bagaimanapun, katanya, Putrajaya mempunyai kewajipan untuk memastikan kawasan tadahan air dilindungi daripada aktiviti yang mampu menjejaskan ekosistem sungai.

Beliau mengulas gambar satelit kawasan tadahan berkenaan dikongsikan NGO alam sekitar, RimbaWatch, yang dikatakan menunjukkan operasi pembalakan mengakibatkan mendapan selut dari aliran Sungai Muda ke kawasan tadahan Tasik Muda.

Kumpulan alam sekitar itu turut menggesa kerajaan Kedah menjelaskan kenapa aktiviti pembalakan berlaku berhampiran kawasan tadahan Tasik Muda.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa aktiviti pembalakan berlaku berhampiran Tasik Muda dan mengakibatkan mendapan selut.

Mengulas penafian Sanusi, Chow berkata: “Jika (mendapan selut) bukan disebabkan pembalakan, kami (kerajaan Pulau Pinang) juga mahu mengetahui punca sebenarnya.”

Chow berkata, beliau mencadangkan pihak berkuasa diwujudkan untuk kawasan tadahan itu sejak penggal pertamanya sebagai ketua menteri, malah telah berbincang dengan tiga menteri alam sekitar dan dua menteri besar Kedah mengenai isu berkenaan.

Katanya, beliau juga membangkitkan isu Umba di pelbagai mesyuarat diadakan oleh Putrajaya yang turut dihadiri pemimpin negeri lain.

“Sebenarnya tiada kemahuan dari segi politik untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menjadikan isu ini dasar kebangsaan,” katanya.

Chow turut menyuarakan kebimbangan bahawa mendapan selut di Tasik Muda akan menjadi semakin teruk, kerana ini akan menjejaskan bekalan air di keseluruhan Pulau Pinang.

Pada Julai 2022, bekalan air mentah dibekalkan Sungai Muda terlalu keruh sehingga tidak dapat dirawat dengan selamat. Akibatnya, loji rawatan air Sungai Dua terpaksa ditutup sementara waktu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.