Pakej khas telco untuk ‘rider’ diumum esok

Pakej khas telco untuk ‘rider’ diumum esok

Menteri komunikasi berkata perbincangan bersama CEO semua syarikat telekomunikasi mencapai kata putus untuk menyediakan pakej khas kepada golongan berkenaan.

Kerajaan mendengar keluhan pekerja e-panggilan dan p-panggilan serta berharap usaha dilakukan dapat membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakej khas telekomunikasi dengan diskaun istimewa bagi pekerja e-panggilan dan p-panggilan akan diumumkan esok, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama ketua pegawai eksekutif semua syarikat telekomunikasi hari ini mencapai kata putus untuk menyediakan pakej khas telekomunikasi kepada golongan berkenaan.

Katanya, kerajaan mendengar keluhan kumpulan pekerja itu dan berharap usaha dilakukan kerajaan dapat meringankan kesulitan serta membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari.

“Kerajaan memahami kesusahan abang-abang rider (penghantar) kita yang bertungkus lumus menghantar makanan dan bungkusan untuk semua, lebih-lebih lagi di bawah terik matahari dan hujan lebat.

“Ini adalah satu kemenangan kecil buat semua pekerja dalam industri p-panggilan (dan e-panggilan). Terima kasih riders kerana telah berkhidmat untuk kami semua selama ini,” katanya di Facebook, menurut Bernama.

Dalam hantaran sama, Fahmi turut berkongsi kisah dan luahan seorang penghantar makanan Foodpanda yang juga bapa kepada dua anak berhubung cabaran dihadapi petugas sektor itu.

Menurut Fahmi, lelaki itu hanya meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan dengan isterinya tidak bekerja dan jumlah pendapatan itu tidak cukup bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Lebih menyedihkan lagi, dah dua bulan beliau tak mampu bayar bil telefon. Ada masa terpaksa pinjam RM200 duit member (kawan) semata-mata nak bayar bil, memandangkan kegunaan telefon adalah keperluan paling penting bagi seorang rider.

“Sebagai seorang ayah, saya cukup faham akan cabaran dihadapinya. Sedar tak sedar dah bersembang hampir 40 minit, tercetus idea untuk melakukan sesuatu (perkenal pakej internet khas) bagi membantu komuniti riders kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.