
Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya bercadang akan memanggil Kementerian Kerja Raya bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selain mendengar pandangan daripada operator lebuh raya.
“PAC bercadang memulakan prosiding berhubung MLFF pada minggu pertama persidangan Dewan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dalam kenyataan.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyemak semula perjanjian MLFF bernilai RM3.46 bilion.
Sebelum ini, FMT melaporkan 32 syarikat konsesi lebuh raya membantah langkah kerajaan secara langsung menganugerahkan projek MLFF kepada sebuah syarikat swasta tanpa rundingan dengan mereka, selain dikatakan jumlah kos melambung 30%.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, berkata penganugerahan projek itu belum dimuktamad dan kerajaan hanya meluluskan “perjanjian pelantikan” berhubung konsep MLFF, pada 17 Nov tahun lalu, selepas Jemaah Menteri menilainya.
Di bawah projek MLFF, semua laluan keluar dan masuk lebuh raya terlibat akan ditukar kepada laluan tiada halangan bagi mengurangkan kesesakan dan menyuraikan aliran trafik.
Persatuan Konsesi Lebuh Raya Malaysia dikatakan menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, dengan mendakwa langkah tersebut melanggar persetujuan antara mereka dengan kerajaan.