Ada kesan darah pada Myvi, kata saksi kes bunuh pemandu e-panggilan

Ada kesan darah pada Myvi, kata saksi kes bunuh pemandu e-panggilan

Jurugambar polis berkata kesan darah berada antara pintu belakang dan pintu hadapan sebelah kiri kenderaan.

Mat Zaki Zain (kanan), enam anggota Esscom dan orang awam Vivien Fabian dituduh bersubahat dan membunuh pemandu e-panggilan. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa terdapat kesan darah di dalam dan luar kereta Perodua Myvi berwarna putih yang dijumpai di ladang kelapa sawit, tahun lepas.

Lasim Jumadi, 52, yang ditugaskan untuk mengambil gambar kenderaan itu pada 16 Jan 2023 berkata kesan darah berkenaan berada di antara pintu belakang dan pintu hadapan sebelah kiri kenderaan.

Bagaimanapun, Lasim yang merupakan jurufoto di Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tawau berkata beliau tidak cuba mencari kesan darah di sekitar kawasan kereta dijumpai.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika disoal peguam Ram Singh pada hari kelima perbicaraan kes bunuh pemandu e-panggilan Nurman Bakaratu membabitkan lapan tertuduh termasuk bekas ketua staf perisikan Eastern Sabah Security Command (Esscom) Mat Zaki Md Zain.

Kepada soalan peguam itu sama ada saksi perasan terdapat beberapa kesan merah berbentuk garisan pada tempat duduk pemandu kereta Myvi, Lasim menjawab, “Memang ada…kesan lebih kurang darah”.

Sementara itu, Lasim menerusi pernyataan saksinya berkata pada 12.45 tengah hari, 16 Jan tahun lepas, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat Aslinah Asikin bahawa terdapat satu mayat dijumpai di kebun sawit di Jalan Anjur Juara, Batu 5 Apas, di sini.

“Saya telah memindahkan kesemua imej gambar yang dirakam oleh saya ke dalam komputer peribadi saya. Tiada orang lain yang mempunyai akses pada komputer itu melainkan saya seorang sahaja,” katanya.

Mengikut pertuduhan, enam anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, dan John Kennedy Sanggah, 44, serta seorang wanita Vivien Fabian, 34, didakwa membunuh Nurman, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5 di sini di antara 7.30 malam dan 11.30 malam pada 13 Jan tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Duncan Sikodol bersambung petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.