
Peguam kanan itu berkata semalam, Lembaga Tatatertib Majlis Peguam diketuai Hakim Rohana Yusuf membebaskan beliau, Liew Teck Huat dan M Rueben daripada sebarang pelanggaran LPA atau etika undang-undang seperti didakwa Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah sebelum ini.
“Akhirnya, sekumpulan individu membuat keputusan betul bahawa kami tidak boleh dipersalahkan kerana melakukan yang terbaik untuk anak guam,” kata Zaid dalam catatan X.
Semalam, FMT melaporkan lembaga itu mengeluarkan surat memanggil Zaid untuk menjawab dakwaan salah laku ketika rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International.
Bekas menteri undang-undang itu, yang kini rakan kongsi Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners, berkata lembaga itu badan bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat dan menghukum peguam atas salah laku profesional, memberinya tempoh sebulan untuk memberi penjelasan.
Aduan yang dikemukakan Majlis Peguam itu tertumpu kepada keputusan Zaid mengambil kes Najib dan tidak mampu meneruskannya apabila mahkamah menolak permohonan penangguhan.
Bekas perdana menteri itu menamatkan perkhidmatan peguam utama Shafee Abdullah serta peguam cara Tetuan Shafee & Co pada 26 Julai 2023. Kemudian, beliau melantik firma Zaid sebagai peguam cara barunya dan Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama untuk meneruskan rayuannya di mahkamah tertinggi.
Shafee dan firmanya mewakili Najib semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada hujung April, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib.
Hisyam tampil bersama Zaid, Liew dan Rueben untuk menghujahkan usul difailkan Shafee & Co sebelum itu bagi pihak Najib yang mahu mengemukakan keterangan baru dan hakim perbicaraan Nazlan Ghazali menarik diri atas dakwaan konflik kepentingan.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan itu pada 16 Ogos dan menolak permohonan penangguhan tiga hingga empat bulan bagi membolehkan pasukan pembelaan baru Najib membuat persiapan.
Pada 18 Ogos laly, Hisyam memberitahu mahkamah bahawa Najib menamatkan perkhidmatan firma Zaid sebagai peguam caranya, yang dibenarkan mahkamah, dan memohon menarik dirinya sebagai peguam utama, tetapi ditolak mahkamah.
Mahkamah pada 23 Ogos mengesahkan sabitan Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, atau tambahan penjara lima tahun, jika gagal membayar denda.