
Katanya, beliau akan cuba mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri memandangkan lebih 1.2 juta individu terbabit dalam sektor ekonomi gig.
“Saya sendiri bawa (cadangan penubuhan suruhanjaya itu) dahulu dan saya akan realisasikan dengan persetujuan Kabinet keseluruhannya.
“Walaupun ada kekangan, saya bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (akan) merealisasikan (penubuhan) Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia,” katanya selepas menghadiri sambutan Ponggal Perpaduan 2024.
Jumaat lalu, “Kempen Grab Blackout” dianjurkan penunggangnya di seluruh negara bagi menuntut hak mereka yang mendakwa harga penghantaran ditetapkan terlalu murah.
Pada 8 Jun tahun lalu, Zahid ketika menyampaikan Amanat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2023, memaklumkan parti itu mengemukakan lima cadangan untuk kerajaan perpaduan, termasuk penubuhan SEGiM.
Sebulan kemudian, Zahid dilaporkan berkata, Anwar dijangka mengumumkan penubuhan SEGiM ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, dengan fungsi suruhanjaya itu dijangka berkuat kuasa selewat-lewatnya pertengahan bulan sama.
Beliau mahu Kementerian Sumber Manusia segera merencanakan penubuhan SEGiM bagi membuktikan komitmen kerajaan membela nasib penggiat ekonomi gig, khususnya dari aspek pendapatan dan kebajikan.
Cadangan penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu, dari peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja hinggalah pengguna.
Dalam perkembangan lain, Zahid dalam ucapannya berkata, beliau mahu memfokuskan peluang untuk anak muda, khususnya kaum India mengikuti kursus berteknologi tinggi dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Ini agar mereka berkemahiran kerja di sektor penting seperti kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik (EV).
“Ini bagi lepasan sekolah dan termasuk yang tercicir dalam pendidikan. Kita akan bekerjasama dengan institusi dan universiti teknikal di India untuk kita promosikan TVET berdasarkan pendidikan teknologi terbaru di dunia.”