
Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, cadangan ini lebih baik berbanding cadangan Akta Parlimen Penggal Tetap (FTPA).
“Perbahasan baru-baru ini mengenai FTPA berkisar tentang keperluan memperkenalkan tahap sekatan tertentu dalam sistem demokrasi untuk menggalakkan kestabilan politik dan seiringnya, meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
“Bagaimanapun, demokrasi dan ‘alternance’ (perselangan) tidak patut dikorbankan. Tambahan, mengurangkan tahap persaingan dalam sistem demokrasi juga boleh memudaratkan ekonomi,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Carmelo Ferlito, dalam kenyataan.
Beliau berkata, menerusi kawasan pilihan raya makro, setiap negeri atau wilayah persekutuan akan mempunyai bilangan kawasan pilihan raya yang sepadan dengan populasinya.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan hanya 80% kerusi diperuntukkan menggunakan sistem ini, manakala bakinya diperuntukkan kepada parti yang menang paling besar.
Sementara itu, Ahli Parlimen pula ditetapkan secara berkadar dengan jumlah undi yang diperoleh parti bertanding.
Berbanding menamakan seorang calon bagi setiap kawasan yang ditandingi, parti itu akan menyenaraikan calon untuk seluruh negeri dan pengundi akan memilih parti dan calon kegemaran mereka.
Katanya, jika Umno Selangor memperoleh 33% undi, Umno akan mendapat 12 kerusi dan calon tersenarai yang memperoleh undi terbanyak akan dipilih menjadi Ahli Parlimen.
Menurut cadangan itu, katanya, Selangor akan memegang 36 daripada keseluruhan 222 kerusi.
Ferlito berkata, sistem semasa diamalkan Malaysia – “first past the post” – memaksa parti membentuk gabungan sebelum pilihan raya dan masih sukar mengukur kekuatan sebenar setiap parti dalam gabungan itu.
Beliau juga berkata, sistem itu tidak sepenuhnya mewakili pengundi kerana calon atau parti yang tidak terpilih tidak mendapat sebarang jawatan.
Menurutnya, undang-undang yang dicadangkan itu akan menjadi insentif kepada calon untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan pengundi.
“Ia juga akan membolehkan ‘orang luar’ terpilih jika mereka dekat dengan penduduk setempat, walaupun tidak mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan parti,” katanya.
Beliau berkata perpecahan yang berlebihan dalam Parlimen boleh dicegah dengan memandatkan bahawa setiap parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya 5% undi untuk ahlinya dipilih memegang jawatan.