Tarif air baharu, rakyat Kelantan harap AKSB urus air lebih baik

Tarif air baharu, rakyat Kelantan harap AKSB urus air lebih baik

Pengurusan air kurang efektif oleh syarikat air negeri itu selama ini menjejaskan keyakinan penduduk setempat terhadap prestasi AKSB.

Pelarasan tarif air baharu di Kelantan dapat membantu kerja-kerja penambahbaikan prasarana, seterusnya meningkatkan perkhidmatan air bersih, kata exco negeri.
KOTA BHARU:
Pelarasan tarif air baharu yang diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bermula 1 Feb ini diharap memberikan kesan positif kepada kualiti bekalan air bersih di Kelantan.

Penghulu Kampung Limbat Bukhari Daud, 67, berkata, pihak pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dilihat memikul tugas besar dalam mencapai tujuan itu.

“Kita melihat perkara ini berdasarkan pencapaian pengurusan sumber air negeri ini yang tidak konsisten dan masih terdapat masalah berkaitan bekalan air hingga kini,” katanya.

“Sebagai contoh, dalam sebulan pasti akan berlaku tekanan air rendah, air kuning dan kadang-kadang bekalan air terputus di sesetengah kawasan menyebabkan ramai menggunakan air daripada telaga tiub yang dibina penduduk.”

Menurutnya, walaupun kenaikan tarif air itu bukan besar jumlahnya, rakyat tetap mengharapkan pengurusan AKSB dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Bukhari berkata, pengurusan air yang kurang efektif ditunjukkan syarikat air itu sejak sekian lama memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap prestasi AKSB dalam penyediaan air bersih.

“Namun, jika tanggungjawab ini dapat dilunaskan dengan baik, ia satu pencapaian yang besar dalam usaha menaik taraf pengurusan air di negeri ini sekali gus menamatkan kemelut yang sekian lama membelenggu rakyat,” katanya.

Peniaga makanan di Kampung Limbat, Samihah Hasnul Hardi, 33, pula berkata, jika AKSB dapat membekalkan air yang bersih dan konsisten, beliau tidak ada masalah untuk kembali menggunakan bekalan air daripada syarikat itu.

Hal ini kerana, katanya, sejak lebih 10 tahun lepas, beliau menggunakan air dari telaga tiub yang dibina berdekatan rumah untuk melancarkan perniagaannya.

“Saya beralih kepada telaga tiub kerana tidak tahan dengan tekanan air yang sangat perlahan dan kadangkala tiada air langsung, yang sudah tentu mengganggu kerja-kerja memasak,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Izani Husin berkata, pelarasan tarif air baharu itu dapat membantu kerja-kerja pembangunan, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan infrastruktur bekalan air dengan lebih lancar.

Penambahbaikan ini seterusnya dapat meningkatkan perkhidmatan air bersih di Kelantan, tambahnya.

Usaha itu juga akan memberi kesan langsung terhadap kualiti perkhidmatan, termasuk menangani gangguan bekalan air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.