
Ketua Polis Terengganu, Mazli Mazlan berkata, enam lelaki berusia 25 hingga 40 tahun ditahan berdasarkan rakaman tular, selain video diambil penonton di tempat kejadian.
“Hanya enam orang terbabit dengan kejadian pukul dan mencederakan.
“Mungkin tiada lagi tangkapan lain kerana berdasarkan rakaman hanya individu itu yang terbabit,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan akan dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Video 22 dan 43 saat yang tular di media sosial menunjukkan kekecohan antara pemain dan penyokong, selain seorang lelaki terjatuh dan disepak.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika perlawanan TFL 2023 di padang sintetik Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada 12 Jan lalu.