
Menurut nota kes yang dilihat FMT, dua saksi itu ialah saudara Farik Amin, yang bersama Nazir Lep mengaku bersalah atas peranan mereka dalam pengeboman Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa.
Dua saksi itu dijadualkan memberi keterangan bagi dua tertuduh berkenaan sebelum mereka dijatuhkan hukuman.
Peguam Christine Funk yang mewakili Farik berkata, pasukannya kecewa visa belum dikeluarkan, walaupun proses itu dimulakan sejak Oktober lalu, dengan penyerahan dokumen saksi yang diperlukan pada awal Disember lalu.
“Saya pasti anda boleh bayangkan betapa kecewanya kami. Kami bekerja keras untuk menyediakan apa yang diperlukan kepada kerajaan AS. Kami berkomunikasi dengan kedua-dua saksi, Kedutaan Malaysia di AS dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
“E-mel terbaru dari Kedutaan AS di Kuala Lumpur menunjukkan mereka bertanggapan saksi perlu berada di sini pada 25 Jan ini, itu tidak betul,” katanya kepada Hakim Wesley A Braun dari Tentera Udara AS yang bertanyakan perkembangan terhadap permohonan visa saksi kerana mahkamah kini dalam fasa mitigasi dan hukuman.
Hakim berkata, keterangan kedua-dua saksi itu sebahagian daripada perjanjian prabicara antara kerajaan AS dan tertuduh semasa menjatuhkan hukuman dan mitigasi.
Funk berkata, seseorang individu tidak boleh terbang ke Guantanamo pada bila-bila masa saja kerana terdapat jadual sangat terhad dan mereka dimaklumkan saksi perlu menaiki pesawat selewat-lewatnya 18 Jan ini (dari Kuala Lumpur) untuk tiba tepat pada masanya.
“Ini tidak berlaku. Harapan terbaik kami seterusnya ialah rotator (penerbangan tentera) pada Selasa depan (23 Jan). Oleh itu, kami terus berkomunikasi dengan saksi kami dan cuba menekankan kepada Kedutaan AS betapa mendesaknya untuk memproses visa itu.
“Mereka menemui (pegawai Kedutaan AS di Kuala Lumpur) untuk mendapatkan visa pada 12 Jan lalu. Kami terus menaruh harapan, serta kecewa,” katanya kepada mahkamah.
Pendakwa raya George Kraehe memberitahu mahkamah, mereka sedang membuat pengaturan untuk beberapa tindakan alternatif, jika saksi tidak mendapat visa mereka tepat pada masanya.
“Ada perbincangan berterusan, tetapi kami masih melakukan semua yang kami mampu. Kami akan tunggu berita daripada pihak pembelaan sama ada mereka akan meneruskan alternatif itu.
Mahkamah turut mendedahkan dua tertuduh sudah menandatangani perjanjian prabicara dengan kerajaan AS yang mempunyai klausa menyatakan hukuman penjara antara 20 hingga 25 tahun yang mungkin bermula dari hari mereka mengaku bersalah.
Sementara itu, peguam Brian Bouffard yang mewakili Nazir berkata, anak guamnya bersemangat baik dan berpuas hati dengan perkembangan kes itu.
“Kami kini beralih ke bahagian hukuman perbicaraan, yang akan berlaku minggu depan. Dia sangat tenang dalam menerima tanggungjawab atas tindakannya,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Nazir, 46, dan Farik, 48, mengaku bersalah bersubahat dalam serangan bom di Bali pada Oktober 2002, selepas 20 tahun dikurung tanpa perbicaraan di Teluk Guantanamo, Cuba.
Mereka pertama kali didakwa pada 2018 bersama warga Indonesia, Encep Nurjaman yang dikenali sebagai Hambali dan didakwa mendalangi serangan itu.
Mereka didakwa dengan sembilan kesalahan dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang dan pengeboman Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 11 kematian.
Bagaimanapun, pengakuan bersalah mereka tidak menyebut sebarang kaitan dengan pengeboman di Jakarta pada 2003.