Peguam negara harus seimbangkan budi bicara dan kepentingan awam, kata peguam

Peguam negara harus seimbangkan budi bicara dan kepentingan awam, kata peguam

Bekas presiden Badan Peguam Salim Bashir berkata terdapat keperluan untuk peguam negara bertanggungjawab terhadap keputusan diambil, terutamanya dalam kes berprofil tinggi.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata hakim mesti menunjukkan akauntabiliti melalui penghakiman bertulis, manakala Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh berkata beliau tidak bertanggungjawab untuk menjelaskan keputusannya.
PETALING JAYA:
Seorang bekas presiden Badan Peguam berkata peguam negara (AG) mesti mencapai keseimbangan yang betul antara pelaksanaan budi bicara pendakwaan yang diberikan kepadanya oleh undang-undang dan bertindak demi kepentingan awam.

Salim Bashir berkata sebagai ketua pendakwaan, peguam negara bertanggungjawab kepada orang ramai apabila pertuduhan jenayah dimulakan atau dihentikan terhadap mana-mana orang di mahkamah, terutamanya dalam kes berprofil tinggi.

“Tiada peruntukan khusus dalam perlembagaan atau Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah yang mewajibkan pendakwa raya mesti memberikan alasan untuk melaksanakan hak prerogatifnya.

“Bagaimanapun, jika ada desakan orang ramai atas alasan mengapa pertuduhan telah ditarik balik dalam kes-kes kepentingan awam, ia sudah tentu memberi petanda baik kepada peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam, jika beliau mengemukakan alasannya.

“Apabila terdapat keperluan mendesak untuk bertanggungjawab kepada orang ramai, peguam negara mesti mempertimbangkan untuk menyatakan alasan tertentu berhubung keputusan yang dibuat,” katanya kepada FMT.

Peguam itu berkata penjelasan oleh peguam negara dalam kes berprofil tinggi akan mengekang spekulasi yang tidak perlu dan mengurangkan tuduhan yang dilemparkan kepada institusi perundangan negara.

Salim juga berkata orang ramai mesti faham, apabila pihak pendakwaan memohon untuk membebaskan tertuduh secara bersyarat, pilihan yang ada kepada mahkamah adalah terhad.

Mahkamah terikat dengan permintaan itu dan hanya melepas tanpa membebaskan (DNAA) atau memberi pembebasan penuh.

Beliau berkata adalah perlu untuk memisahkan jawatan peguam negara daripada pejabat pendakwa raya untuk memastikan kebebasan mereka dan menangkis dakwaan campur tangan tidak wajar oleh eksekutif dalam melaksanakan budi bicara pendakwaan.

Pada Pembukaan Tahun Perundangan Isnin lalu, Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh mencetuskan kontroversi kerana mengatakan beliau tidak bertanggungjawab untuk menjelaskan secara terbuka alasan beliau memulakan atau menghentikan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana individu.

Terrirudin berkata budi bicara pendakwa raya dalam memfailkan dan menghentikan pertuduhan termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataannya dikritik Lawyers for Liberty, yang berkata Mahkamah Persekutuan dalam kes baru-baru ini menekankan bahawa budi bicara yang diberikan kepada pendakwa raya tidak bebas.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada majlis yang sama pula menyeru hakim supaya telus dan bertanggungjawab kepada orang ramai terhadap keputusan mereka dengan menetapkannya secara bertulis. Ini bagi menjaga keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, katanya.

Penganalisis politik Lau Zhe Wei memuji gesaan ketua hakim negara, yang berkata ia akan meningkatkan keyakinan orang ramai terutamanya kerana undang-undang tidak mewajibkan hakim mengeluarkan alasan bertulis bagi keputusan mereka.

Lau, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata rakyat Malaysia akan hilang keyakinan terhadap institusi kerajaan terutamanya Jabatan Peguam Negara (AGC) jika keputusan utama tidak dijelaskan.

“Dengan keyakinan awam, orang ramai mungkin masih bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan AGC, tetapi mereka tidak akan mempersoalkannya. Tanpa keyakinan orang ramai, setiap keputusan akan dipersoalkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.