
Beliau berkata, pengguna di daerah barat daya akan terjejas dengan gangguan bekalan air yang belum ditentukan tarikhnya.
Paip pecah itu membekalkan air terawat dari Butterworth ke sekurang-kurangnya separuh daripada pengguna di pulau itu. Sejak dua bulan lalu, paip itu sudah pecah tiga kali selepas pembaikan.
Chow berkata, kerja lencongan paip sedang dijalankan dan paip itu dialihkan atas sungai buat sementara waktu.
“Gangguan bekalan air akan datang tidak sebesar skala sebelum ini kerana ia hanya akan mengambil 16 jam untuk disiapkan (lencongan itu).
“Bekalan air akan pulih dalam masa kurang sehari,” katanya ketika meninjau kerja lencongan dekat Ampang Jajar.
Kerja lencongan sudah dimulakan di sepanjang tebing Sungai Perai membabitkan dua paip disusun di tepi jambatan Ampang Jajar berdekatan.
Sebahagian jambatan itu juga akan ditutup, dengan hanya satu lorong dibuka sementara kerja dijalankan.
Selepas lencongan itu siap, Chow berkata, tiga lagi paip di dasar sungai sama akan dilencongkan.
Paip itu pada asalnya disusun sejajar dari loji rawatan air di Butterworth, melalui Sungai Perai di empat titik berbeza, dengan satu daripadanya di lokasi lencongan dimulakan sekarang.