
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata penyusunan semula itu diperlukan kerana Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali tidak lagi bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak susulan rombakan Jemaah Menteri, Disember lalu.
Armizan kini memegang portfolio sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.
“Kita perlu menyusun semula struktur tersebut dan kemudian kita panggil mesyuarat untuk membentangkan kertas kerja yang baharu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MTPMA63 telah membincangkan mekanisme pelaksanaan bagi pembayaran balik 40% daripada hasil bersih persekutuan yang diperoleh Sabah.
Fadillah berkata, penstrukturan semula JKMTPMA63 antara lain membawa kembali Armizan ke jawatankuasa itu.
Katanya, beliau telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor semalam dan membincangkan perkara berkaitan MA63.
“Kami telah duduk untuk mendapatkan arahan daripada beliau (Hajiji). Dan apa yang saya akan lakukan setakat MA63 berkenaan (ialah) akan mendapatkan kedua-dua Armizan dan juga (menteri pembangunan usahawan dan koperasi) Datuk Ewon Benedick untuk duduk dalam jawatankuasa itu.
“Bermula dari situ, kita akan mulakan perbincangan,” kata Fadillah yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Pada Disember tahun lalu, Ewon, yang juga ahli MTPMA63 dan JKMTPMA63, mencadangkan rangka mekanisme untuk pembayaran balik 40% daripada hasil persekutuan kepada Sabah dan akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan persekutuan dan Sabah.
Ahli Parlimen Penampang itu, berkata rangka kerja mekanisme yang dicadangkan itu mengambil kira isu teknikal berkaitan ketersediaan data berkaitan kutipan hasil Persekutuan di Sabah sejak 1974, bertujuan untuk pendekatan yang lebih praktikal dan bergerak ke hadapan.