
Ahli Parlimen Selayang William Leong dari PKR berkata langkah itu bagi memastikan perdana menteri dan kerajaan dipilih dapat melengkapkan penggal pentadbiran selama lima tahun, bukan dibubarkan mengikut kepentingan pihak tertentu.
Menurutnya, rakyat muak melihat politiking berterusan dan ugutan menumbangkan kerajaan yang rancak berlaku selepas PRU15 sehingga menjejaskan kestabilan negara.

“Buat macam piala dunia (bola sepak)…ada tempoh tetap pertandingan. Kalau pilihan raya setiap lima tahun, ini dapat beri peluang kepada parti dipilih secara demokrasi dapat laksanakan dasar serta program.
“Kalau tidak puas hati dengan kerajaan boleh tunggu pilihan raya seterusnya untuk ubah…ia tidak boleh selalu (sebelum genap lima tahun parlimen) kerana rakyat muak,” kata bendahari PKR itu kepada FMT.
Semalam, FMT melaporkan cadangan penganalisis politik Wan Hashim Wan Teh supaya pelaksanaan Akta Parlimen Berpenggal Tetap jika menjadi realiti, juga harus menghadkan budi bicara perdana menteri bagi menentukan tempoh pembubaran Dewan Rakyat bagi mengadakan PRU, kata penganalisis.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyarankan pelaksanaan Akta Parlimen Berpenggal Tetap untuk menghalang cubaan menjatuhkan kerajaan dominan dan dipilih secara sah pada PRU.
Cadangan itu susulan laporan media yang mendakwa wujud “Langkah Dubai” iaitu perbincangan di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata walaupun perdana menteri boleh mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen tetapi kuasa mutlak masih di tangan Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau perdana menteri tiada majoriti beliau mesti meletak jawatan, parlimen boleh dibubarkan oleh Agong.
“Dalam hal ini perdana menteri yang tidak ada lagi kepercayaan majoriti tiada kuasa menasihati Agong supaya membubarkan Parlimen,” katanya yang juga dari PKR.
Sementara itu, Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berpendapat pertukaran kerajaan sebelum penggal pentadbirannya tamat harus dibuat di Dewan Rakyat.
“Kerajaan masih boleh bertukar menerusi Akta Parlimen Berpenggal Tetap tetapi dengan tatacara telus dan dibuat dalam sidang Parlimen,” katanya.