
Pemimpin itu yang juga exco Selangor berkata, Umno “terlalu mendesak” walaupun hanya menang dua kerusi dalam PRN tahun lalu.
“Parti kami masing-masing mengeluarkan arahan melarang kami membuat sebarang kenyataan,” katanya yang enggan dinamakan.
Pemimpin itu berkata, Umno sebelum ini mendesak berhubung jawatan exco dan ketua kampung.
Terbaru, dakwaan mengenai tuntutan Umno untuk 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
Baru-baru ini, Malaysiakini melaporkan pejabat Exco Selangor, Ng Suee Lim berkata isu berhubung pelantikan itu telah diselesaikan.
Ia menyusul laporan memetik sumber berkata, kerajaan negeri tidak dapat memuktamadkan pelantikan ahli majlis PBT kerana Umno enggan menerima tawaran Menteri Besar, Amirudin Shari berhubung isu itu.
Menurut sumber itu, Umno pada awalnya meminta 24 jawatan ahli majlis, sebelum bilangan itu diturunkan kepada 20 hasil rundingan.
Katanya, Umno sepatutnya sedar ia tidak cukup kuat di Selangor untuk bersikap begitu mendesak.
Beliau juga menyifatkan tidak adil untuk PH “terlalu memberi muka” kepada Umno di Selangor, sedangkan parti utama Barisan Nasional itu enggan berkompromi dengan PH di Johor, di mana Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menolak tuntutan perwakilan Amanah supaya kerajaan perpaduan dibentuk di negeri itu.
Sementara itu, seorang pemimpin bahagian PKR Selangor menyuarakan kebimbangan terhadap tuntutan Umno itu boleh menjejaskan akar umbi.
“Mana boleh mereka (Umno) menuntut begitu banyak sedangkan mereka cuma menang dua kerusi?
“Umno malah meminta jawatan ahli majlis PBT di kawasan yang mereka kalah. Sudah tentu orang tidak akan senang.”
Pemimpin yang enggan dinamakan itu berkata, jawatan ahli majlis PBT selalunya diberikan kepada pemimpin akar umbi.
“Sebelum pilihan raya sekalipun, setiap Adun mempunyai senarai pendek calon bagi jawatan berkenaan. Kini, kita pula terpaksa memberi laluan kepada calon Umno.”
Seorang lagi pemimpin bahagian PKR yang juga tidak mahu dikenali, bimbang rasa tidak senang terhadap konsesi yang diberikan kepada Umno mampu menjejaskan penyokong di peringkat akar umbi, seterusnya membawa kepada sabotaj dalam pilihan raya akan datang.