Sarawak negeri terbaru dilanda banjir

Sarawak negeri terbaru dilanda banjir

Seramai 30 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Dewan Millenia setakat pagi ini.

PPS Dewan Millenia di Debak Sarawak dibuka pada 1.30 pagi tadi untuk menempatkan mangsa banjir dari Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu. (Gambar Facebook APM DEBAK)
PETALING JAYA:
Sarawak menjadi negeri terbaru dilanda banjir, dengan 30 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di sebuah PPS setakat pagi ini.

PPS Dewan Millenia, yang dibuka pada 1.30 pagi tadi, menempatkan mangsa-mangsa banjir dari Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu di Debak, 270km dari bandar raya Kuching. Kawasan itu dilanda banjir selepas hujan berterusan sejak semalam, lapor Bernama.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang dicatat di Johor, Pahang dan Sabah tidak berubah sejak tengah malam tadi, melibatkan 205 orang yang masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan, sebanyak dua PPS di Segamat, Johor masih beroperasi, menempatkan 65 mangsa daripada 19 keluarga.

Di Pahang, dua PPS di daerah Rompin menempatkan 110 mangsa daripada 36 keluarga, manakala di Sabah, 30 mangsa daripada 16 keluarga masih berada di sebuah PPS di Beluran.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati beberapa sungai di Johor, Kedah, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya setakat 6 pagi.

Sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat, Johor; Sungai Kedah, Kota Setar di Kedah; Sungai Arau di Perlis; dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu.

Nadma turut memaklumkan sebanyak 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor; dan Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.