Projek rintis e-invois LHDN mula Mei

Projek rintis e-invois LHDN mula Mei

Lebih 50 syarikat mengesahkan penyertaan bagi proses pengujian sistem.

4,000 syarikat berpendapatan melebihi RM100 juta disasarkan menjadi kumpulan pertama untuk terbabit dalam pelaksanaan e-invois.
KUALA LUMPUR:
Projek rintis sistem invois elektronik (e-invois) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dimulakan Mei depan bagi menguji keberkesanaan sistem dan memastikan sistem integrasi syarikat berjalan lancar apabila ia dikuatkuasakan pada Ogos 2024.

Pengarah Seksyen Operasi Dasar, Jabatan Operasi Cukai, Rasyidah Che Rosli berkata lebih 50 syarikat mengesahkan penyertaan mereka bagi proses pengujian sistem berkenaan.

“Kita terbuka jika ada lagi syarikat yang mahu terlibat dalam projek perintis e-invois.

“Kita mengalu-alukan pemain industri yang pelbagai untuk menyertainya supaya dapat mewakili sektor masing-masing dan dapat mengetengahkan isu-isu dihadapi mereka supaya kita dapat menangani keperluan itu bersama-sama,” katanya selepas program bual bicara ‘Apa Khabar Malaysia’.

Menurut Rasyidah, sesi libat urus bagi projek perintis diadakan sejak Disember 2023.

Sebanyak 4,000 syarikat yang mempunyai pendapatan melebihi RM100 juta disasarkan menjadi kumpulan pertama untuk terbabit dalam pelaksanaan e-invois yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos 2024.

“Boleh saya katakan kebanyakan mereka telah membuat persediaan untuk melaksanakan e-invois. Cabarannya adalah untuk memastikan sistem sedia ada dapat diintegrasi dengan sistem percukaian LHDN.

“Bagaimanapun, seperti saya tekankan e-invois bukanlah satu perkara yang baharu. Pelbagai negara melaksanakan e-invois, jadi ia satu sistem yang berdasarkan amalan terbaik sistem antarabangsa dari segi format yang mana kita menggunakan JSON and XML untuk diintegrasi,” jelas Rasyidah.

Syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta akan mula mengguna pakai e-invois pada 1 Jan 2025.

Penguatkuasaan penuh sistem e-invois akan dilaksana pada 1 Julai 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.