
Ia susulan notis zon hijau di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA ditutup mulai 2 petang hingga 9 malam kelmarin sehingga ada pengguna X mempersoalkan sama ada penutupan itu menandakan sistem kesihatan di Johor Bahru di ambang kelumpuhan.
Dr Dzulkefly memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku di HSA, sebaliknya penutupan zon hijau adalah mekanisme Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan masa menunggu di jabatan kecemasan.
“Ia diaktifkan apabila ada lonjakan kes menunggu tidak kritikal di zon kecemasan. Ini bagi mengurangkan masa menunggu. Harap maklum,” katanya menurut Harian Metro.
Media melaporkan penutupan sementara zon hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA pada Rabu lalu bagi menampung peningkatan pesakit zon kuning dan merah yang melebihi kapasiti.
Pengarah HSA, Dr Sal Atan dilaporkan berkata, perkhidmatan rawatan di zon itu dibuka semula pada hari sama kira-kira 5 petang, walaupun notis pemakluman menyatakan penutupan dari 2 petang hingga 9 malam.
“Pihak pengurusan hospital mengambil maklum (kekeliruan) notis itu, penutupan sementara yang dimaksudkan ialah semua pesakit yang ditriaj (dibahagikan) ke zon hijau diubah hala ke Klinik Kesihatan Mahmoodiah.”
Pada 16 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, masalah kesesakan di HSA sekian lama dijangka berkurangan dengan jaminan penambahan petugas kesihatan oleh KKM.