
Na’imah Khalid menyifatkan laporan itu sebagai “bernada sensasi”, bertujuan untuk memberikan tanggapan salah laku atau pemilikan harta yang diperoleh secara haram.
“Kami tidak pernah merahsiakan fakta kami memiliki aset di luar negara, yang merupakan hasil daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan yang sah sejak sebelum penglibatan Daim dalam arena politik pada 1984.
“Hakikatnya, pengarang laporan itu tidak pun mencadangkan wujudnya elemen jenayah, justeru menimbulkan persoalan mengapa laporan sedemikian diterbitkan,” katanya dalam kenyataan.
Na’imah dipercayai merujuk kepada laporan sebuah portal bahawa dana amanah luar pesisir itu ditubuhkan atas nama Na’imah dan dua anak mereka, Amir dan Amin, memetik dokumen yang diperoleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).
Daim sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, yang mengaitkan beberapa tokoh terkemuka di Malaysia dengan kawasan perlindungan cukai luar pesisir.
Minggu lalu, SPRM menyoal Na’imah dan dua anak lelaki mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai aset milik keluarga itu.
Daim dan keluarganya memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah untuk mencabar siasatan SPRM itu, yang menurut mereka bercanggah dengan perlembagaan.
Na’imah hari ini mengecam tindakan menerbitkan laporan dengan tuduhan tersirat dan tanggapan tanpa bukti kukuh, yang akan mencemarkan nama baik seseorang, menyifatkannya sebagai “salah dan tidak beretika”.
“Malah, ia menjurus kepada pembunuhan watak dengan bertopengkan laporan berita,” katanya.
“Laporan ini akan hanya meniupkan prasangka, khabar angin dan andaian terhadap kami atau mana-mana orang dalam situasi sama, dan tidak syak lagi inilah tujuan ia diterbitkan.”