
Wan Agyl Wan Hassan, bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, jambatan darat Thailand itu akan menjejaskan unjuran jumlah dagangan dan impak ekonomi ECRL.
“Menawarkan harga kompetitif dan memastikan pengoperasian cekap (untuk perkhidmatan kargo) dapat membantu mengekal daya tarikannya.
“Namun, keadaan akan mencabar untuk ECRL apabila jambatan darat ini wujud kerana ia akan menjadi laluan lebih mudah dan langsung untuk digunakan syarikat perkapalan berbanding ECRL,” katanya kepada FMT.
Justeru, beliau mencadangkan Putrajaya fokus mempromosi dan memperluaskan perkhidmatan penumpang kereta api itu, sambil mengoptimumkan infrastruktur sesuai dengan kemudahan serta pilihan pelanggan bagi memacu sumbangan ekonomi ECRL.
Beliau turut mencadangkan ECRL diintegrasikan dengan rangkaian pengangkutan tempatan dan membangunkan zon ekonomi di laluannya bagi menambah nilai kepada projek itu yang dijangka siap pada 2027.
“Perancangan laluan adalah komponen penting bagi memastikan ECRL mampu memenuhi keperluan pelanggan. Perkhidmatan dagangan dan penumpang adalah dua perkara jauh berbeza.”
ECRL sepanjang 665km dilengkapi 20 stesen, iaitu 10 stesen penumpang dan 10 stesen campuran penumpang serta kargo. Tujuh daripada stesen itu terletak di Pahang, enam di Terengganu, dua di Kelantan dan lima di Selangor.
Baru-baru ini, Thailand mencadangkan pembinaan jambatan darat sepanjang 90km merentasi Segenting Kra bagi menghubungkan Teluk Siam dan Laut Andaman melalui rel serta jalan raya. Pihak Thai sedang mencari rakan kongsi bagi memulakan projek itu yang dianggarkan bernilai USD28.5 bilion (RM131 bilion).
Menurut Thailand, laluan itu akan mengurangkan waktu pelayaran bagi kapal, yang buat masa ini terpaksa mengambil dua hingga tiga hari mengelilingi Semenanjung Malaysia, seterusnya dapat menjimatkan kos.
Perunding pengangkutan, Rosli Khan berkata, jambatan darat itu akan menjejaskan idea asal di sebalik pembinaan ECRL, iaitu untuk kargo diturunkan di Kuantan sebelum dibawa menggunakan rel ke Pelabuhan Klang.
Katanya, tidak banyak boleh dilakukan kerajaan Malaysia sekiranya projek di Thailand itu diteruskan.
“(Syarikat) perkapalan akan membuat keputusan terbaik untuk mereka. Laluan dengan perjalanan lebih pantas, kos lebih rendah, efisien dan banyak pelabuhan produktif pasti menjadi pilihan.”