Batal HSR: Rayuan hidup semula saman terhadap kerajaan difailkan

Batal HSR: Rayuan hidup semula saman terhadap kerajaan difailkan

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman yang difailkan oleh Hatta Sanuri bagi pihak dirinya serta lebih 32 juta rakyat yang didakwa terjejas akibat pembatalan projek HSR.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang warganegara Malaysia memfailkan rayuan untuk menghidupkan semula saman terhadap kerajaan serta empat lagi berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Peguam, Mohaji Selamat, yang mewakili Mohd Hatta Sanuri, berkata notis rayuan difailkan pada 12 Jan lepas.

Pada 15 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman yang difailkan oleh Hatta bagi pihak dirinya serta lebih 32 juta rakyat yang didakwa terjejas akibat pembatalan projek itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan kerajaan dan empat defendan lain kerana mendapati Hatta tidak mempunyai locus standi untuk memulakan saman tersebut.

Hatta menamakan kerajaan, dua bekas perdana menteri iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed serta bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong sebagai defendan.

Pernyataan tuntutan Hatta memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa pembatalan projek itu adalah batal serta tidak sah dan supaya semua defendan membayar pampasan sebanyak RM1 juta kepada beliau dan semua rakyat kerana membatalkan projek HSR secara salah serta cuai.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350 kilometer itu apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Dis 2020.

Malaysia membayar sejumlah S$102.8 juta (RM320.27 juta) sebagai pampasan kepada Singapura bagi kos yang terpaksa ditanggung berkaitan pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan lanjutan penangguhannya.

Projek itu dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu perjalanan terus di antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia serta perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) ke Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.