Agihan subsidi bersasar dijangka suku kedua tahun ini, kata Rafizi

Agihan subsidi bersasar dijangka suku kedua tahun ini, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata suku pertama tahun ini diperlukan untuk memproses data diperoleh daripada Padu.

Rafizi Ramli berkata memorandum Jemaah Menteri mengenai mekanisme penyasaran semula subsidi akan dibawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu depan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mekanisme pengagihan subsidi bersasar dijangka dapat dilaksanakan seawal suku kedua tahun ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, pasukannya perlu memproses data diperoleh daripada Pangkalan Data Utama (Padu) kerajaan pada suku pertama tahun ini.

“Maksudnya kalau keputusan berkenaan mekanisme dibuat minggu hadapan, pangkalan data perlu selesai menjelang 31 Mac, saya tidak merasakan kita susah payah bekerja keras kemudian nak laksanakan 2025.

“Maksudnya, berdasarkan suku tahun, suku pertama kita proses data dan kesiapsiagaan, jadi pada suku kedua kita sudah boleh laksanakan,” katanya pada sidang media di Jabatan Perangkaan.

Rafizi turut memaklumkan, memorandum Jemaah Menteri mengenai mekanisme penyasaran semula subsidi akan dibawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu depan.

“Butirannya tunggu perdana menteri umumkan,” katanya.

Setakat 4 petang 19 Jan, lebih 1.6 juta pendaftaran diterima dalam sistem Padu selepas dua minggu pangkalan data itu dilancar.

“Tapi kita ingin memastikan sekitar 30 juta yang kemaskini data mereka termasuklah yang kanak-kanak bawah 18 tahun, kita sekarang masuk minggu ketiga Jan, masa itu akan jadi lebih singkat,” kata Rafizi.

Bilangan pendaftaran tertinggi berdasarkan peratusan jumlah penduduk adalah di Putrajaya (9.8%) dan Sarawak (7.8%).

Manakala Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Sabah, dan Labuan pula melaporkan atas 6%; diikuti Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Pahang, dan Kuala Lumpur (bawah 5%).

Rafizi berkata pasukannya akan bekerjasama dan turun ke ke setiap negeri bagi merancakkan lagi pendaftaran sebelum tempoh tamat 31 Mac.

“Saya akan turun padang sendiri memastikan, selain bagi arahan dan kerjasama hingga akar umbi, libatkan lebih banyak kumpulan. Di peringkat kerajaan persekutuan arahan telah dikeluarkan perdana menteri yang telah disampaikan ketua pengarah perkhidmatan awam untuk memastikan semua penjawat awam berusaha untuk mendaftarkan secepat mungkin.

“Di peringkat negeri juga saya akan cuba dalam tempoh sebulan ini buat kunjungan hormat kepada menteri besar, pimpinan negeri untuk pastikan kerajaan negeri juga terbabit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.