
“Semua negeri minta kita naikkan (tarif air) dalam mesyuarat dengan menteri dan ketua menteri…ada negeri tak naik selama 40 tahun.
“Mereka usulkan dan kerajaan persekutuan setuju,” katanya pada sidang media selepas pemukiman anggota Jemaah Menteri.
Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan berkenaan berkuat kuasa 1 Feb yang disifatkan masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod 2022.
Agensi itu menjelaskan kenaikan itu berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun kerajaan persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras kenaikan tarif.
Hari ini, FMT melaporkan Pengerusi SPAN Charles Santiago mempertahankan tindakan itu susulan kritikan Gerakan, salah satu komponen dalam Perikatan Nasional yang mahu langkah tersebut ditarik balik.
Santiago berkata pelarasan itu sebagai langkah yang amat penting dan bermanfaat, antaranya untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil, menggantikan paip lama, dan menaik taraf loji rawatan air.
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud pula dipetik berkata pelarasan itu tidak akan membebankan rakyat dan dibuat mengikut “kesesuaian”.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Hanafiah Mat menyifatkan langkah berkenaan perlu bagi mengelakkan operator berdepan kelemahan dari segi kedudukan kewangan, selain tarif air negeri itu tidak pernah disemak sejak 26 tahun lalu.