Pemuda PKR buat laporan polis terhadap Mahathir

Pemuda PKR buat laporan polis terhadap Mahathir

Laporan itu berhubung kenyataan bekas perdana menteri bahawa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

M Sathasivam menunjukkan laporan polis terhadap Dr Mahathir Mohamad di Balai Polis Travers.
KUALA LUMPUR:
Pemuda PKR hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Majlis Kepimpinan Pemuda PKR Pusat M Sathasivam di Balai Polis Travers di sini. Sathasivam tiba di balai polis itu pada 5 petang dan selesai kira-kira sejam kemudian.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata selaku bekas perdana menteri, Mahathir perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum di negara ini.

Mahathir juga, katanya, tidak perlu mempersoal kesetiaan masyarakat Cina dan India kepada negara kerana sebelum ini beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun adalah atas sokongan rakyat termasuk kedua-dua kaum.

“Kini bila kaum Cina dan India tidak lagi memberikan sokongan kepada dia, kami dikatakan tidak setia kepada negara.

“Tun (Mahathir) perlu berhenti keluarkan kenyataan seperti itu, ia menggambarkan keadaan politik Malaysia tidak menentu dan akan menakutkan pelabur asing untuk melabur di sini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Pusat S Thiban.

Sathasivam juga berkata pihaknya akan mengarahkan cabang Pemuda PKR seluruh negara membuat laporan polis berhubung kenyataan itu.

“Saya yakin pihak polis akan menjalankan siasatan sepenuhnya terhadap laporan polis ini,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran televisyen satelit India Thanthi TV mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih terikat dengan negara asal mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.