NTSB sah pintu pesawat Alaska Airlines tercabut buatan Malaysia

NTSB sah pintu pesawat Alaska Airlines tercabut buatan Malaysia

Pengerusi NTSB Jennifer Homendy berkata pintu itu dikeluarkan oleh Spirit AeroSystems di Malaysia.

Penyiasat NTSB John Lovell memeriksa pintu pesawat Alaska Airlines Penerbangan  1282 yang tercabut.(Gambar NTSB/AP)
PETALING JAYA:
Pintu Boeing 737 MAX 9 milik Alaska Airlines yang tercabut hingga menyebabkan pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Portland, Oregon, Amerika Syarikat pada awal bulan ini dikeluarkan di Malaysia, kata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).

Menurut laporan Wall Street Journal, Pengerusi NTSB Jennifer Homendy berkata pintu itu dikeluarkan oleh Spirit AeroSystems di Malaysia sebelum dihantar ke pembekal Boeing di Wichita, Kansas.

Beliau berkata bahawa siasatan NTSB juga akan menyelidik pengeluaran pintu itu, pengangkutan, pemasangan, dan masuk dalam perkhidmatan, serta pemeriksaan kualiti sepanjang proses itu.

“Pada masa ini kami tidak mempunyai petunjuk di mana dalam proses ini ia terjadi. Ini boleh berlaku di mana sahaja sepanjang proses, dan kami tidak hanya menumpukan pada pengeluaran,” kata Homendy dalam taklimat tertutup kepada anggota Jawatankuasa Perdagangan Senat.

Beberapa senator yang menghadiri taklimat itu juga mencadangkan pesawat itu tidak dibenarkan terbang sehingga siasatan dapat mengenalpasti punca kejadian tersebut.

Pada Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberitahu wartawan beliau tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pintu pesawat dengan tulisan ‘Made in Malaysia’ itu.

Bagaimanapun, Loke berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan meneliti perkara itu sekiranya syarikat penerbangan terlibat menghantar laporan rasmi.

Pada minggu lalu, portal berita Oregon Public Broadcasting (OPB) melaporkan seorang guru sekolah di Portland menemui pintu pesawat yang tercabut di halaman belakang rumahnya.

OPB melaporkan bahawa Bob Sauer turut melihat nombor siri pintu dan maklumat pengeluaran lain, seperti ‘Made in Malaysia’ yang kelihatan ditulis dengan tangan menggunakan pen dakwat kekal.

Sementara itu, New Straits Times melaporkan Spirit AeroSystems enggan mengulas mengenai tulisan pada pintu pesawat itu dan kejadian membabitkan penerbangan Alaska Airlines.

Katanya, syarikat itu bekerjasama rapat dengan pasukan penyiasat NTSB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.