NGO cadang ‘mangsa’ sindiket tipu kerja didakwa

NGO cadang ‘mangsa’ sindiket tipu kerja didakwa

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia berkata langkah itu dapat memberi pengajaran kepada 'mangsa' terutama yang mempunyai motif kerja haram.

Daniel Khoo (tiga kiri) bersama Naib Ketua Biro Aduan PKR Teh Siong Lieng (dua kiri) pada sidang media mangsa sindiket pemerdagangan di Myanmar dan Laos hari ini.
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan polis mendakwa “mangsa” yang diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia luar negara menerusi akta tertentu.

Pegawai Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo, berkata langkah itu dapat memberi pengajaran kepada “mangsa” berkenaan terutama mereka yang mempunyai motif kerja haram.

“Mungkin polis boleh tuduh mangsa terbabit supaya mereka dapat pengajaran dari segi undang-undang. Jika tidak, mereka rasa tak kisah sebab akan dapat balik (dengan) selamat dengan bantuan kerajaan dan juga NGO.

“(Isu) tiada kesudahan. Kebanyakan mereka memang tahu pergi sana untuk tujuan apa,” katanya dalam sidang media bersama keluarga mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Pada masa sama, Daniel berkata pihaknya akan terus mengadakan perbincangan dengan keluarga mangsa dan mencari penyelesaian sesuai mahupun selamat untuk membawa mereka pulang.

Naib Ketua Biro Aduan PKR, Teh Siong Lieng, menyeru orang ramai tidak mudah percaya tawaran pekerjaan di luar negara walaupun ia ajakan kenalan.

“Pastikan tawaran itu kerja sah dan ada permit diberikan,” katanya.

Sementara itu, adik seorang mangsa sindiket penipuan, Choo Wei Moon, 27, berkata abangnya bersama dua rakan ditawar kerja “buka akaun” di Hong Kong oleh bekas rakan sekerjanya dengan gaji RM4,000 sebulan.

Katanya, namun mangsa dibawa secara bersendirian ke satu lokasi di Myanmar.

“Orang sana minta USD31,000 pada abang saya jika dia nak tinggalkan kawasan itu. Mana mampu,” katanya.

Manakala, Loh Seow Hua, 44, suami kepada seorang mangsa mendakwa isterinya ke Taiwan sejak bulan lalu selepas dihubungi sebuah agensi berjanji untuk membiayai “NGO sekolah pelarian” dimilikinya.

“Hingga kini saya tak dapat hubungi dia. Saya hanya tahu dia berada di Laos berdasarkan sumber transaksi wang dibuatnya kepada pengasuh anak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.