Mirzan disiasat berkait Kertas Panama, diarah isytihar harta

Mirzan disiasat berkait Kertas Panama, diarah isytihar harta

Mirzan Mahathir diberi tempoh 30 hari oleh SPRM untuk mengisytiharkan aset di dalam dan luar negara.

Mirzan Mahathir hadir ke ibu pejabat SPRM semalam untuk membantu siasatan. (Gambar Aseanbusinessclub)
PETALING JAYA:
Anak bekas perdana menteri Mirzan Mahathir disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait maklumat dalam laporan Kertas Panama dan diarah mengisytiharkan aset miliknya.

Mirzan hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis disampaikan kepadanya bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

“Ia menghendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih dalam pegangannya sama ada di dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan.

Perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mirzan adalah anak sulung bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut SPRM, siasatan bermula sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

“Sehingga kini, seramai 10 saksi dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan.

“SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.