
Pengerusi bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian, dan Imigresen Majlis Peguam M Ramachelvam turut memuji Menteri Sumber Manusia Steven Sim kerana menegaskan bahawa pekerja berhak menerima gaji walaupun tidak diberikan sebarang kerja.
“Kelompongan bahawa majikan tidak bertanggungjawab membayar pekerja asing yang dibawa masuk oleh mereka ke negara ini kerana tiada kerja diberikan, tidak boleh lagi dijadikan alasan oleh majikan,” kata Ramachelvam dalam kenyataan.
“Keputusan kerajaan ini juga menjadi satu bentuk pencegahan untuk memastikan majikan tidak menyalahgunakan kuota kelulusan pekerja asing.
“Kerajaan juga harus bekerjasama dengan negara asal (pekerja) untuk memastikan tidak ada penyalahgunaan dalam proses pengambilan, termasuk caj bayaran yang tinggi kepada pekerja asing.”
Ramachelvam berkata proses kelulusan bagi kuota pekerja asing perlu dikaji semula dan diperbaiki.
Menurutnya, proses kelulusan itu mungkin perlu melibatkan pihak berkuasa berkaitan bagi membuat lawatan tapak untuk memastikan “permohonan adalah sahih dan terdapat kerja yang tersedia”.
Beliau berkata tindakan harus diambil mengikut undang-undang berkaitan, termasuk undang-undang jenayah dan pekerjaan, terhadap majikan dan ejen yang menyalahgunakan proses pengambilan pekerja asing.
Selasa lalu, Sim mengkritik majikan yang enggan membayar gaji pekerja dengan alasan tiada kerja yang tersedia untuk mereka.
“Ini akan menjadi dasar kami pada masa akan datang. Kementerian Sumber Manusia menganggap bahawa mana-mana pekerja yang dibawa ke Malaysia mesti dibayar, tanpa mengira sama ada pekerja itu melakukan sebarang kerja atau tidak,” katanya.
Beliau juga berkata, 751 pekerja Bangladesh, yang diperdaya dengan janji palsu pekerjaan yang tidak wujud di Pengerang, Johor, mengemukakan tuntutan RM2.21 juta untuk gaji yang belum dibayar dari majikan mereka.
Kes mereka dijadual untuk didengar di pejabat buruh Pengerang pada 5 Feb.