
Berita Harian melaporkan Zamri Mahat, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Duda itu didakwa mencuri 20 tandan sawit bersama seorang lagi rakan masih bebas dari kebun Mohamad Bukhari Jusoh, 58, di Batu 12, Air Hitam, Bakri, pada 6.30 petang 14 Jan lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 5 Feb ini untuk sebutan kes serta serahan dokumen.
Di mahkamah sama, tertuduh yang bekerja di kebun juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamin dan amphetamin.
Dia mengaku bersalah sebelum mahkamah menjatuhkan denda RM1,500 atau penjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu.