
Bagaimanapun, penduduk di tanah besar kecewa kerana kualiti perkhidmatan kurang baik di kawasan mereka.
Semalam, Pulau Pinang mengumumkan tarif air domestik akan dinaikkan kerana gangguan bekalan selama empat hari minggu lalu menunjukkan perlu untuk menaik taraf infrastruktur sedia ada.
NGO berkata, kenaikan itu wajar memandangkan purata bil air bulanan bagi pengguna rumah di Pulau Pinang ialah RM5.55.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bayan Baru, Dr Manjit Singh, berkata harga diselaraskan itu bersesuaian memandangkan Pulau Pinang memenangi anugerah untuk standard kualiti air terbaik.
Manakala KP Soong dan Medalene Sim daripada Persatuan Penduduk Desa Ria, berkata kenaikan itu wajar tetapi mesti menambah baik infrastruktur di daerah barat daya kerana kebanyakan paip sudah uzur.
Mereka berkata, lebih banyak takungan perlu dibina di perbandaran Sungai Ara untuk membekalkan air kepada penduduk di kawasan lebih tinggi selain segera menggantikan paip lama.
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Pulau Pinang, K Koris Atan, berkata kebanyakan pengguna membayar purata kira-kira RM10 sebulan yang lebih murah daripada makanan luar.
“Apabila orang ramai membayar RM30 kepada Grab untuk menghantar sarapan ke rumah mereka, apakah bezanya dengan bil air RM10?” soalnya.
Bagaimanapun, penduduk di kawasan selatan Seberang Perai tidak berpuas hati kerana bil mereka melonjak daripada RM6.20 kepada RM10.85 sebulan.
Mereka yang ditemui FMT berkata, ia tidak adil kerana tidak menerima perkhidmatan yang baik.
“Kewajaran untuk kenaikan tarif air adalah di luar penjelasan logik. Sehingga kini, tahap perkhidmatan di Seberang Perai Selatan tidak memenuhi piawaian Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), apatah lagi di peringkat antarabangsa,” kata penyelaras pro-tem Forum Seberang Perai B Saravanan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Kader, berpendapat perlu ada usaha untuk memberikan rebat kepada mereka dalam kumpulan berpendapatan sederhana rendah.
“Warga emas yang tinggal bersendirian dan tidak banyak menggunakan air tidak sepatutnya dikenakan bayaran. Mereka harus dikecualikan membayar bil,” katanya kepada FMT.