Kapal OPV1 mula operasi di perairan Sarawak

Kapal OPV1 mula operasi di perairan Sarawak

Ketua Setiausaha KDN Ruji Ubi berkata kapal itu diserahkan kepada APMM sejak 2 Jan lepas.

Ketua Setiausaha KDN Ruji Ubi ketika lawatan rasmi di atas Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) yang melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak. (Gambar KDN)
KUCHING:
Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV1) yang dibina sepenuhnya di Malaysia secara rasmi memulakan pengoperasian pertamanya dengan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak, khususnya di kawasan Laut China Selatan bermula hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Ruji Ubi berkata kapal itu telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sejak 2 Jan lepas.

“Dengan penambahan OPV yang kelima bagi APMM ini, kita berharap operasi menjaga keselamatan sempadan perairan negara khususnya di Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan, terutama sekiranya ada ancaman kedaulatan dan juga pencerobohan nelayan asing.

“Kita mengharapkan pihak maritim dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik. OPV1 ni sangat istimewa kerana ia boleh berada di perairan selama tempoh 21 hari tanpa ulang bekal,” katanya dalam sidang media selepas lawatan rasminya menaiki kapal OPV1.

OPV1 merupakan OPV kelima Maritim Malaysia yang beroperasi setakat ini, selain Kapal Maritim (KM) Arau, KM Pekan, KM Langkawi dan KM Banggi.

Jelasnya, kewujudan OPV1 yang ditugaskan menjaga perairan negeri ini khususnya di Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum juga bertujuan mengurangkan risiko syarikat cari gali dan petroleum menjadi sasaran kes rompakan di laut.

Terdahulu, beliau dan rombongan KDN yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan menaiki helikopter AW139 telah melakukan pendaratan di atas kapal itu.

Menurutnya majlis penamaan OPV1 dijadualkan disempurnakan oleh isteri perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pelabuhan Pending dalam masa yang terdekat.

Mengulas lanjut berkaitan status OPV2 dan OPV3, Ruji berkata kedua-dua aset itu dijangka diserahkan dalam tempoh dua tahun dengan masing-masing berada pada tahap 76% dan 56% siap.

“Jadi untuk OPV2 tinggal 24% dan OPV3 tinggal dalam 43% (untuk siap) dan ia sama (seperti model) OPV1… aset-aset ni dan akan dapat memperkukuhkan kawalan sempadan di kawasan Laut Cina Selatan khususnya,” katanya dan menambah ketiga-tiga OPV itu keseluruhannya berjumlah kira-kira RM740 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.