Daun tembakau Virginia RM650,000 dirampas di Ipoh

Daun tembakau Virginia RM650,000 dirampas di Ipoh

Rampasan seberat 21 tan itu adalah yang terbesar dalam tempoh tiga tahun.

Daun tembakau Virginia dipercayai diseludup dari negara jiran sebelum disimpan dalam stor bagi penghasilan rokok berkualiti. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Daun tembakau Virginia seberat 21 tan bernilai RM650,000 dirampas di Lorong Pengkalan 7, Ipoh, Perak, menjadikannya rampasan terbesar dalam tempoh tiga tahun.

Ia antara daun tembakau berkualiti tinggi dan paling mahal.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Zailani Hashim, berkata rampasan dilakukan hasil intipan selama tiga minggu oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) selain mendapat kerjasama polis dan kastam.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah menyeludup masuk bahan terlarang itu dari negara jiran sebelum daun tembakau berkenaan disimpan dalam stor untuk tempoh tertentu.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dan kita sudah mengambil keterangan daripada pemilik stor berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Daun tembakau jenis virginia adalah antara daun tembakau mempunyai kualiti tinggi dan paling mahal. Ia boleh menghasilkan rokok berkualiti. Lebih lama tembakau itu disimpan, maka lebih berkualiti rokok itu dihasilkan,” katanya di pejabat LKTN, Kota Bharu, menurut Berita Harian.

Dalam pada itu, Zailani berkata rampasan pada 3 Jan dilakukan mengikut Seksyen 51(1) Akta LKTN 2009 (Akta 692) iaitu tiada seorang pun boleh menyimpan atau memiliki tembakau diawet melainkan dengan kebenaran bertulis daripada lembaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.