Bekas peguam cara negara ketuai rayuan kes rasuah Syed Saddiq

Bekas peguam cara negara ketuai rayuan kes rasuah Syed Saddiq

Yusof Zainal Abiden yang dibantu Hisyam Teh Poh Teik, pernah menjadi peguam Najib Razak dalam perbicaraan kes SRC International.

Bekas peguam cara negara Yusof Zainal Abiden bersara pada 2012 dan memasuki bidang guaman. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas peguam cara negara Yusof Zainal Abiden akan mewakili Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi pertuduhan berkait rasuah.

Peguam Alex Tan, yang firma guamnya bertindak sebagai peguam cara, mengesahkan perkara tersebut selepas menghadiri pengurusan kes di hadapan pendaftar kanan Mahkamah Rayuan hari ini.

“Yusof akan menjadi peguam utama dan peguam Hisyam Teh Poh Teik akan membantunya dalam rayuan ini,” katanya kepada FMT.

Yusof sebelum ini adalah salah seorang peguam dalam pasukan undang-undang bekas perdana menteri Najib Razak untuk perbicaraan kes SRC International.

Beliau terkenal kerana mendakwa bekas pengerusi Perwaja Bhd, mendiang Eric Chia, dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dalam perbicaraan liwat II di Mahkamah Tinggi.

Beliau bersara pada 2012 dan memasuki bidang guaman.

Sebelum ini, Gobind Singh Deo menjadi peguam utama Syed Saddiq dalam perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid.

Sementara itu, Tan berkata pasukan pembelaan masih belum menerima rekod rayuan termasuk alasan penghakiman.

“Satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 15 Mac ini,” katanya.

Pada 9 Nov lalu, Azhar mendapati bekas menteri belia dan sukan itu bersalah atas empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada bernilai lebih RM1 juta.

Syed Saddiq ketika itu adalah ketua sayap Pemuda Bersatu atau lebih dikenali sebagai Armada.

Azhar berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap bekas presiden Muda itu melampaui keraguan munasabah.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.