Tiada masalah bekalan gula, hanya gangguan pengedaran, kata MSM

Tiada masalah bekalan gula, hanya gangguan pengedaran, kata MSM

Ketua Pegawai Operasi Hasni Ahmad berkata kapasiti pengeluaran gula bertapis oleh MSM dan CSR ketika ini ialah 2.8 juta, berbanding permintaan sekitar 1.6 juta setahun.

Ketua Pegawai Operasi MSM Hasni Ahmad berkata bekalan gula di sektor pengeluaran sentiasa mencukupi malah melebihi permintaan sebenar.
JOHOR BAHRU:
MSM Malaysia Holdings Bhd, pengeluar utama gula bertapis negara, mendakwa gangguan bekalan gula di pasaran tempatan berpunca di sektor pengedaran, yang di luar kawalannya.

Merujuk situasi sejak beberapa bulan lalu termasuk di Labuan, Ketua Pegawai Operasinya Hasni Ahmad berkata bekalan gula di sektor pengeluaran sentiasa mencukupi malah melebihi permintaan sebenar.

“Kapasiti pengeluaran gula bertapis ketika ini ialah 2.8 juta tan (MSM dan Central Sugars Refinery atau CSR) tetapi permintaan hanya sekitar 1.5 hingga 1.6 juta setahun.

“Di gudang simpanan kami, seperti anda lihat kita ada banyak gula. Jadi, ia (gangguan bekalan) lebih kepada pengedaran,” katanya selepas lawatan media ke MSM Sugar Refinery (Johor) di Pasir Gudang.

Hasni berkata pihaknya sentiasa berusaha membantu kerajaan membekalkan gula ke lokasi mengalami gangguan bekalan menerusi pemborong sah.

“Kita ada pemborong sah di setiap lokasi, contoh bila kita dapat panggilan daripada kerajaan kita terus hubungi pemborong di kawasan terdekat untuk tambah bekalan. Kita bantu kerajaan dari aspek itu.”

Baru-baru ini, media melaporkan masalah bekalan gula di Labuan, sehingga Ahli Parlimennya Suhaili Abdul Rahman mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengambil tindakan serta-merta.

Menteri Armizan Mohd Ali berkata faktor kedudukan Labuan yang jauh dari lokasi, menjejaskan rantaian penghantaran bekalan gula.

Bagaimanapun, katanya, masalah kekurangan bekalan gula itu dijangka selesai minggu ini selepas kapal dengan muatan 118.90 tan gula tiba dari Sabah.

Kilang penapisan kedua milik MSM di Tanjung Langsat dengan keluasan 50.63 ekar itu kini sedang memproses gula mentah berkapasiti 40,000 tan dari Brazil, sementara dua lagi kapal dari negara pengeksport terbesar dunia itu akan tiba pada 18 Jan dan 27 Jan dengan kapasiti kira-kira 90,000 tan.

Malaysia kini mengimport gula mentah sepenuhnya dari Brazil selepas negara pengeluar gula utama dunia, Thailand dan India membekukan sementara eksport gulanya.

MSM menguasai 60% pasaran dalam perniagaan penapisan gula tempatan, dengan kapasiti pengeluaran tahunan mencecah 2.05 juta tan.

Mengulas rancangan mengeksport gula putih premium, Gula Super, ke Singapura pada separuh pertama tahun ini, Hasni berkata usaha itu tidak akan menjejaskan bekalan gula tempatan.

“Tak perlu bimbang, sebab kita ada banyak gula… jadi ia (eksport gula) tak akan beri kesan kepada industri gula negara,” katanya.

Gula Super mula dijual di seluruh negara sejak Mei pada harga runcit disyorkan RM4.60 setiap kg.

MSM kini mengeksport gula ke 17 negara termasuk negara Asia Pasifik, Pakistan, dan Asia Barat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.