Saya sedia jumpa, harap datang, Dr M beritahu menteri perpaduan

Saya sedia jumpa, harap datang, Dr M beritahu menteri perpaduan

Terdahulu, Aaron Ago Dagang berkata beliau sedia bertemu Dr M jika 'dia terus meluahkan isu sensitif yang boleh memecah-belahkan perpaduan antara kaum'.

Dr Mahathir Mohamad sedia bertemu Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad sedia berjumpa Aaron Ago Dagang selepas menteri perpaduan negara itu menyatakan hasrat bertemunya, susulan kenyataan kontroversi mendakwa “masyarakat India tidak setia”.

“Saya sedia jumpa dengan Menteri Aaron Ago Dagang seperti yang dia cadang. Saya harap dia datang,” kata bekas perdana menteri di platform X.

Terdahulu, Aaron dalam satu majlis amanat menteri perpaduan berkata beliau sedia bertemu Mahathir jika “dia terus meluahkan isu-isu sensitif yang boleh memecah-belahkan perpaduan antara kaum”.

Dalam temu bual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India baru-baru ini, Mahathir berkata masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana “masih terikat dengan negara asal”.

Mahathir berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.

Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Menerusi ciapan sama, Mahathir turut mempersoalkan kewujudan parti berasaskan kaum yang wujud di negara ini.

“Yang asyik bercakap tentang ‘multiracial’ dan kritik saya berkenaan isu berkaitan kaum harus bertanya kenapa wujud parti-parti berasas kaum dalam negara ini.

“Kenapa tidak cuma wujud parti Malaysia,” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.