Polis buru pengasuh disyaki dera budak hingga patah kaki

Polis buru pengasuh disyaki dera budak hingga patah kaki

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata pengasuh terbabit melarikan diri sebelum majikannya membuat laporan 8 Jan lalu.

Media pada 11 Jan lalu melaporkan mangsa dilaporkan dicubit, digigit dan dipukul sehingga patah kaki oleh pengasuhnya yang juga wanita warga asing. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Polis giat mengesan seorang pengasuh warga asing yang melarikan diri selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sehingga patah kaki.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, berkata pengasuh terbabit melarikan diri sebelum majikannya membuat laporan pada 8 Jan lalu.

“Pengasuh berkenaan belum ditemui lagi namun kertas siasatan sudah dibuka.

“Kita masih lagi mengesan keberadaan pengasuh yang menyebabkan kanak-kanak tiga tahun patah kaki,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, menurut Berita Harian.

Media pada 11 Jan lalu melaporkan mangsa dilaporkan dicubit, digigit dan dipukul sehingga patah kaki oleh pengasuhnya yang juga wanita warga asing.

Kejadian itu terbongkar selepas kanak-kanak terbabit tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan dialaminya, Isnin minggu lalu.

Menurut ibunya, pengasuh itu diambil daripada sebuah agensi pekerjaan warga asing kira-kira tiga tahun lalu dan ditugaskan menjaga anaknya yang menerima rawatan di HKL.

Bagaimanapun, dia menyedari terdapat kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan, muka serta kemaluan anaknya pada 2022 namun pengasuh menafikan menderanya.

Pengasuh itu melarikan diri sebelum wanita berkenaan membuat laporan polis.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya turut mengesahkan menerima laporan ibu mangsa pada 8 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.