
Dalam kenyataan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata pendakwaan itu susulan serbuan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kedah di Kilang Beras Seng Wor Sdn Bhd pada 7 Okt.
Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan menjual lima guni beras gred hancur berjumlah 250kg kepada pihak tidak berlesen pada 24 Sept.
“Pemeriksaan juga mendapati terdapat perselisihan kuantiti beras hancur dalam milikan berbanding penyata rekod stok yang diberikan oleh pengilang.
“Dalam perkara ini, pihak KPB Kedah merampas 10,593.70kg beras hancur berkenaan,” menurut kenyataan itu.
KPKM berkata, premis itu melakukan dua kesalahan iaitu Peraturan 9(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 – tidak boleh menjual beras kepada mana-mana orang kecuali kepada pemegang lesen borong yang bukannya pengilang beras, pemegang lesen runcit, mana-mana orang bagi maksud pengilangan atau katering dan mana-mana pembekal beras di bawah kontrak.
Bagi kesalahan kedua, terdapat perselisihan kuantiti beras dengan maklumat yang diberikan melalui Penyata Deklarasi Stok Beras Dalam Milik/Kawalan di bawah Seksyen 7(1)(a).
“Siasatan mendapati berlaku pelanggaran bawah Seksyen 8(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua ke atas Kilang Beras Seng Wor Sdn Bhd dan rampasan bernilai RM25,000 dijadikan hasil kerajaan,” menurut KPKM.