Anwar hantar poskad kepada PBB desak terima Palestin negara anggota

Anwar hantar poskad kepada PBB desak terima Palestin negara anggota

Perdana menteri berkata poskad itu juga bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar kekejaman Israel terhadap warga Palestin dihentikan.

Anwar Ibrahim berkata orang ramai boleh ikut serta dalam kempen pengiriman poskad khas kepada setiausaha agung PBB dengan membelinya di semua pejabat pos atau laman sesawang Pos Malaysia. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri menandatangani dan mengirim sekeping poskad khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.

Menerusi hantaran di laman Facebook, perdana menteri berkata poskad itu adalah bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar PBB menerima Palestin sebagai negara anggota serta menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.

“Poskad khas ini akan diserahkan menerusi wakil tetap Malaysia ke PBB. Saya berharap suara tulus rakyat Malaysia ini mendapat perhatian serius daripada Guterres,” katanya.

Anwar berkata rakyat Malaysia juga boleh ikut serta dalam kempen pengiriman poskad khas kepada setiausaha agung PBB itu.

Beliau berkata mereka boleh berbuat demikian dengan membeli poskad itu mulai esok di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.