
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata kes baru-baru ini yang mana kenderaan rosak lapan jam selepas pembelian harus jadi contoh kenapa Akta Perlindungan Pengguna harus segera dikukuhkan.
“Lemon Law” disifatkan sebagai jalan penyelesaian bagi pembeli sesuatu produk yang gagal memenuhi piawaian kualiti dan prestasi, yang mana ia memerlukan produk yang rosak dibaiki atau diganti oleh pihak syarikat, selain meminta pengurangan harga atau bayaran balik.
“Kerajaan perlu memperkenalkan ‘Lemon Law’ untuk memastikan pengeluar dan pengedar kereta bertanggungjawab ke atas produk mereka yang rosak dan untuk membaiki kenderaan itu dengan memuaskan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.
Dalam kebanyakan kes, tambahnya, pembeli kenderaan yang cacat terpaksa ke bengkel yang sah di mana mereka mungkin menghadapi beberapa situasi misalnya penyelesaian memakan masa sehingga tempoh jaminan tamat; kenderaan tersadai lama tanpa diagnosis; jurutera cari salah pembeli untuk menolak tuntutan mereka; atau pusat servis enggan akui kecacatan tidak boleh diperbaiki dan oleh itu ia tidak perlu bayar balik atau ganti kenderaan.
Katanya lagi, pemilik yang mengalami masalah dengan kos lebih daripada RM50,000 tidak boleh memfailkan tuntutan pertukaran atau bayaran balik di Tribunal Tuntutan Pengguna.
“Mereka tidak mempunyai pilihan selain membawa syarikat kereta itu ke mahkamah, menanggung proses undang-undang yang mahal dan memakan masa,” katanya.
Mengambil contoh “Lemon Law” di Singapura, CAP menjelaskan pembeli boleh membuat tuntutan dalam tempoh enam bulan; mengharapkan penjual membaiki, menggantikan, membayar balik atau mengurangkan harga produk yang rosak; dan pastikan produk yang rosak dibaiki dalam tempoh masa yang munasabah pada kos penjual.
Ia juga harus menetapkan tempoh maksimum munasabah untuk membaiki kenderaan yang rosak teruk adalah satu bulan, dengan tiga percubaan untuk membaiki kereta sama sebelum “Lemon Law” digunakan, tambahnya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) yang dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 2022 memaklumkan sedang meneliti penambahbaikan undang-undang jual beli termasuk cadangan memperkenalkan Lemon Law.
Isu berkaitan Lemon Law timbul kembali selepas seorang pemilik kenderaan Perodua Bezza, S Nagakanni mendakwa kenderaan dibelinya pada Oktober tahun lalu rosak tidak sampai lapan jam selepas dibeli.
Selepas perkara itu tular, Perodua kemudiannya memaklumkan syarikat bersetuju untuk membeli semula keretanya dengan harga penuh selepas beberapa bulan menunggu penyelesaian.