Sanusi mohon kes hasut dipindah ke Mahkamah Tinggi

Sanusi mohon kes hasut dipindah ke Mahkamah Tinggi

Menteri Besar Kedah itu berdepan dua tuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 24 Jan untuk pengurusan kes itu.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, yang berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, memohon untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Muhammad Sanusi berkata permohonan itu yang difailkan semalam (15 Jan) telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.

“Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam ditetapkan pada 24 Jan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Awang Armadajaya berkata pihaknya melalui surat, memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula 18 Jan ini di Mahkamah Sesyen Selayang.

“Pihak kami mohon penangguhan perbicaraan kes pada 18 dan 19 Jan berikutan Menteri Besar itu (Muhammad Sanusi) perlu ke luar negara untuk tugasan rasmi.

“Mahkamah melalui surat turut membenarkan permohonan pembelaan untuk mengecualikan kehadiran Menteri Besar pada sebutan kes 18 Jan ini,” katanya.

Muhammad Sanusi selaku pemohon memfailkan permohonan untuk memindahkan kes, antaranya atas alasan suatu perbicaraan yang berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah jenayah rendah daripada Mahkamah Tinggi.

Menerusi notis usul tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu berkata sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, ia akan memudahkan pihak-pihak merujuk kepada isu undang-undang rumit yang akan dikemukakan semasa perbicaraan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pada 11 malam, 11 Julai tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.