Perlis dah mohon peruntukan khas melalui BPEN, exco jawab Tiong

Perlis dah mohon peruntukan khas melalui BPEN, exco jawab Tiong

Wan Badariah Wan Saad menjawab kenyataan Menteri, Tiong King Sing bahawa tiada wakil kerajaan Perlis membangkitkan isu permohonan peruntukan khas dalam mesyuarat 14 Nov lalu.

Exco Perlis, Wan Badariah Wan Saad mendakwa permohonan peruntukan khas itu dibuat kepada Motac melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri sebelum November lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Peruntukan khas untuk menaik taraf lokasi pelancongan di Perlis tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan lalu kerana permohonan telah dibuat kepada kementerian, menurut exco kerajaan negeri.

Exco Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan Perlis, Wan Badariah Wan Saad mendakwa permohonan tersebut dibuat kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sebelum November lalu.

“Semasa mesyuarat yang lalu, saya bangkitkan isu garis panduan ‘homestay’ yang dilihat agak ketat dan tidak bangkitkan isu peruntukan kerana BPEN telahpun menghantar permohonan kepada Motac,” katanya, yang hadir mesyuarat jawatankuasa berkenaan, kepada FMT.

Beliau menjawab kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing bahawa tiada wakil kerajaan Perlis membangkitkan isu permohonan peruntukan khas dalam mesyuarat 14 Nov lalu.

Tiong mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas berhubung peruntukan menaik taraf lokasi pelancongan, khususnya sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Tahun Melawat Perlis 2024-2025 menyasarkan kehadiran 3.5 juta pelancong.

Wan Badariah berkata, isu soal peruntukan tidak sepatutnya dikelirukan atau diperbesarkan kerana semua pihak perlu terbuka mencari kaedah terbaik membangunkan sektor pelancongan.

“Kerajaan Perlis sentiasa terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan Putrajaya dalam membangunkan sektor pelancongan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.