
“Trend Machiavelli melenturkan undang-undang dan amalan ialah cerminan zaman 80an dan 90an, apabila pelbagai institusi dan undang-undang dilenturkan untuk menjamin kuasa Mahathir,” katanya dalam kenyataan.
Menyifatkan cadangan itu sebagai “reaksi tergesa-gesa” yang akan menceroboh Perlembagaan Persekutuan, bekas timbalan menteri itu menasihatkan agar jalan mudah tidak diambil “dengan menggubal undang-undang yang buruk”.
“Politik harus berfungsi dalam rangka sistem perundangan dan perlembagaan,” kata Ti.
“Cadangan menggubal dasar atau undang-undang bagi kerajaan jangka tetap untuk mengelak kemelut politik akan menceroboh peruntukan Perlembagaan dan bidang kuasa raja berperlembagaan semasa.”
Ti berkata, ahli politik dan pemegang jawatan tidak boleh dilindungi atau kebal terhadap undi tidak percaya apabila mereka gagal melaksanakan tugas. Undi sedemikian adalah “sebahagian daripada proses demokrasi Malaysia”, tambahnya.
“(Undi tidak percaya) membenarkan Ahli Parlimen yang dipilih sama ada mengesahkan sokongan mereka atau menghentikan sebarang kemerosotan dalam kalangan kerajaan atau pemegang jawatan.
“Begitu juga bagi pertukaran kerajaan, mekanisme yang diperuntukkan oleh perlembagaan (untuk membolehkannya) tidak patut disekat atau dinafikan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mencadangkan FTPA minggu lepas untuk menghalang percubaan menukar kerajaan, berikutan spekulasi wujudnya “Langkah Dubai”.
Akta itu akan memperuntukkan sesebuah kerajaan dibenarkan kekal berkuasa sehingga tamat penggal lima tahun jika ia dibentuk oleh parti atau gabungan parti dominan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.