Beijing tambah 1,000 biasiswa lepasan TVET jalani latihan di China

Beijing tambah 1,000 biasiswa lepasan TVET jalani latihan di China

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata biasiswa berkenaan diagih-agihkan antara rangkaian universiti-universiti teknikal Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan China akan membiayai 100% kursus termasuk kemudahan dan lain-lain untuk lepasan TVET menjalani latihan di negara itu. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Kerajaan China menawarkan tambahan 1,000 biasiswa lagi kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menjalani latihan di negara itu, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata pelajar terpilih akan menjalani latihan dalam pelbagai bidang kemahiran antara tiga bulan hingga satu tahun di negara Tembok Besar itu yang merupakan antara sebahagian daripada “Belt and Road Initiative (BRI)”.

“Kerajaan China akan membiayai 100% kursus termasuk kemudahan dan lain-lain. Ini satu tawaran yang baik dan penempatan ini dibahagi-bahagikan antara institusi TVET yang ada.

“Mereka cuma meminta supaya tiket kapal terbang sahaja yang dibiayai oleh pelajar-pelajar dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan biayai tiket pergi dan balik untuk pelajar-pelajar TVET kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal.

Beliau turut berkata biasiswa berkenaan akan diagih-agihkan antara rangkaian universiti-universiti teknikal Malaysia agar ia memberi manfaat kepada semua.

Zahid berkata pelajar berkenaan akan menjalani latihan dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), bateri, keselamatan siber dan sebagainya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata ekosistem TVET di negara ini amat kompleks.

Beliau berkata justeru ia memerlukan pengurusan dan kemahuan politik yang tinggi daripada semua menteri yang terlibat di dalam Majlis TVET Negara (MTVET) agar ia mampu menjadi pemangkin utama melonjakkan sosioekonomi negara.

“TVET akan memperkukuh dan memperkasa negara kita untuk menangani isu-isu dari segi penggunaan tenaga kerja dari luar negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.